Ubat baharu barah ikut formulari standard KKM

sutent-50-mg-500x500

Gambar hiasan

KUALA LUMPUR – “Ubat baharu bagi merawat barah sudah pun disenaraikan dalam formulari ubat-ubatan Kementerian Kesihatan (KKM) dan ia boleh diperoleh di hospital-hospital besar,” kata Ketua Pengarah Kesihatan Datuk Dr Noor Hisham Abdullah.

Sambil menafikan laporan sebuah portal berita yang mendakwa ubat baharu barah tidak terdapat di Malaysia, beliau menjelaskan sebelum disenaraikan dalam formulari itu, kerajaan membelanjakan kira-kira RM420,000 untuk merawat 11 pesakit yang memerlukan ubat ‘Sunitinib’ bagi merawat barah.

Beliau berkata, KKM mempunyai formulari standard bagi ubat-ubatan, yang secara tidak rasminya dikenali sebagai ‘Blue Book’.

“Ia mengandungi senarai ubat-ubatan yang berperanan sebagai panduan kepada doktor mengenai ubat-ubatan yang boleh dipreskripsikan kepada pesakit yang mendapatkan rawatan di fasiliti KKM.

“Semua ubat-ubatan yang disenaraikan dalam formulari itu disediakan untuk pesakit tanpa sebarang bayaran – pesakit hanya membayar RM1 hingga RM5 apabila mendapatkan rawatan pesakit luar dan bagi perkhidmatan pesakit dalam, mereka hanya perlu membayar kos wad dan ujian tertentu manakala ubat-ubatan disediakan secara percuma,” katanya dalam kenyataan di sini. – Bernama

Sumber: Sinar Harian

Klik di sini untuk lebih maklumat berkenaan ubat Sunitinib Malate.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *