Isu Tablet Paracetamol Mengandungi Virus “Machupo” yang Tersebar Luas di Laman Sosial

Kenyataan ini dikeluarkan susulan daripada penularan mesej di laman sosial berkaitan tablet paracetamol P/500, warna putih berkilat yang dikatakan mengandungi virus ‘Machupo’.

Produk P/500 (Aeknil) tablet berwarna putih yang disebarkan melalui media sosial tidak berdaftar dengan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dan adalah berbeza dengan produk Aeknil Tablets yang didaftarkan.

Produk Aeknil Tablet yang berdaftar dengan KKM mengandungi bahan aktif paracetamol 500mg dengan nombor pendaftaran MAL19911249XZ untuk indikasi “For the relief of mild to moderate pain and reduce fever”. Tablet yang didaftarkan berwarna biru, berbentuk bulat dengan diameter ½ inci dan mempunyai perkataan aeknil atau therapeutic pada permukaannya.

Untuk makluman, KKM juga tidak menerima sebarang laporan alert berkenaan pencemaran paracetamol dari pihak berkuasa negara pengilang atau negara-negara lain setakat ini.

Virus “Machupo” dikelaskan dalam kumpulan virus Arenavirus yang boleh menyebabkan demam berdarah. Buat masa ini, virus berkenaan hanya ditemui di Amerika Selatan. Ia tersebar melalui air kencing atau najis tikus yang telah dijangkiti. Seperti kebanyakan virus yang lain, virus ini tidak boleh hidup dalam persekitaran yang kering seperti tablet paracetamol.

Orang awam dinasihatkan supaya tidak mempercayai berita atau mesej yang belum tentu kesahihannya. Orang ramai diminta untuk memastikan produk yang diguna adalah produk berdaftar di mana ia mempunyai pelekat hologram dan dilabel dengan nombor pendaftaran MAL. Semakan status pendaftaran sesuatu produk boleh dibuat melalui laman sesawang https//:npra.moh.gov.my atau menghubungi NPRA di talian 03- 78835400.

DATUK DR. NOOR HISHAM ABDULLAH KETUA PENGARAH KESIHATAN MALAYSIA

E-BOOK Cakna Ubat Anda

ebook

Ebook Cakna Ubat Anda adalah merupakan satu inisiatif Cawangan Penguatkuasaan Farmasi, Jabatan Kesihatan Negeri Kelantan untuk mempelbagaikan medium penyampaian maklumat kepada masyarakat berkenaan dasar-dasar Kementerian Kesihatan Malaysia melibatkan kawalan ubat-ubatan dan kosmetik di Malaysia. Ebook ini pada mulanya memfokuskan kepada pengguna-pengguna internet atau netizen apabila netizen boleh memuaturun ebook ini secara percuma di tapak simpanannya di mediafire.com.

Selepas hampir 18000 kali muaturun di tapak simpanannya, kami melangkah selangkah lagi dengan memperkenalkan ebook Cakna Ubat Anda dalam bentuk aplikasi yang boleh dimuaturun di Play Store.
Ebook Cakna Ubat Anda ini mempunyai 4 siri merujuk kepada 4 buah tajuk iaitu
1. Cakna Ubat Anda : Berkisar mengenai kawalan ubat-ubatan di Malaysia
2. Ubat, Kosmetik dan Racun : Mendedahkan beberapa produk ubat dan kosmetik yang beracun
3. Kosmetik – Cantik atau Mudarat : Berkisar mengenai kawalan kosmetik di Malaysia
4. Kawalan Iklan : Menceritakan kawalan iklan ubat dan perkhidmatan perubatan di Malaysia

Semoga aplikasi ini memberikan satu manfaat yang besar kepada masyarakat dan dalam masa yang sama membudayakan budaya membaca untuk mendapatkan pengetahuan di kalangan masyarakat.
Kami boleh di hubungi di http://www.facebook.com/CPFKelantan atau talian kami di 09-7730586.

Untuk muat-turun aplikasi, sila ke menu INFORMASI > PRODUK KAMI > E-BOOK CAKNA UBAT ANDA

#Gu Cakna Ubat

# Gu Cakna Ubat ialah satu kempen yang dijalankan oleh Cawangan Penguatkuasaan Farmasi, Bahagian Perkhidmatan Farmasi JKN Kelantan.

Dalam dialek Kelantan, “gu” bermaksud sahabat manakala “cakna” bermaksud ambil tahu/ambil peduli.

Dengan menyertai kempen ini, para pengguna dapat berkomunikasi secara terus dengan Pegawai Farmasi BPF JKN Kelantan untuk bertanya sebarang isu berkaitan ubat-ubatan atau isu berkaitan pendaftaran produk seperti kosmetik dan ubat tradisional. Selain dari itu, pihak kami juga akan memuat-naik gambar-gambar produk tidak berdaftar yang mengandungi racun agar pihak pengguna tidak terpedaya.

Semua orang awam dan professional kesihatan dijemput untuk menyertai kempen ini melalui aplikasi sosial seperti yang tertera di dalam poster di bawah.

Sekiranya berminat, tuan/puan boleh menyertai kempen ini melalui empat cara:

  1. Telegram: telegram.me/caknaubat
  2. Twitter: twitter.com/cpfkelantan
  3. Whatsapp: Taip “yes gu” ke nombor telefon 011-13184808
  4. Instagram: Follow @gucaknaubat

poster-gu-cakna-ubat

Ubat baharu barah ikut formulari standard KKM

sutent-50-mg-500x500

Gambar hiasan

KUALA LUMPUR – “Ubat baharu bagi merawat barah sudah pun disenaraikan dalam formulari ubat-ubatan Kementerian Kesihatan (KKM) dan ia boleh diperoleh di hospital-hospital besar,” kata Ketua Pengarah Kesihatan Datuk Dr Noor Hisham Abdullah.

Sambil menafikan laporan sebuah portal berita yang mendakwa ubat baharu barah tidak terdapat di Malaysia, beliau menjelaskan sebelum disenaraikan dalam formulari itu, kerajaan membelanjakan kira-kira RM420,000 untuk merawat 11 pesakit yang memerlukan ubat ‘Sunitinib’ bagi merawat barah.

Beliau berkata, KKM mempunyai formulari standard bagi ubat-ubatan, yang secara tidak rasminya dikenali sebagai ‘Blue Book’.

“Ia mengandungi senarai ubat-ubatan yang berperanan sebagai panduan kepada doktor mengenai ubat-ubatan yang boleh dipreskripsikan kepada pesakit yang mendapatkan rawatan di fasiliti KKM.

“Semua ubat-ubatan yang disenaraikan dalam formulari itu disediakan untuk pesakit tanpa sebarang bayaran – pesakit hanya membayar RM1 hingga RM5 apabila mendapatkan rawatan pesakit luar dan bagi perkhidmatan pesakit dalam, mereka hanya perlu membayar kos wad dan ujian tertentu manakala ubat-ubatan disediakan secara percuma,” katanya dalam kenyataan di sini. – Bernama

Sumber: Sinar Harian

Klik di sini untuk lebih maklumat berkenaan ubat Sunitinib Malate.

Kanak-Kanak Maut Termakan Ubat Darah Tinggi – Tips Pencegahan

JELEBU – Seorang kanak-kanak berusia empat tahun maut akibat termakan ubat tekanan darah tinggi milik neneknya di Simpang Pertang, di sini, kelmarin.

Mangsa dikenali sebagai Lee meninggal dunia di Hospital Tuanku Najihah (HTAN) Kuala Pilah, kira-kira 1 petang setelah mengalami muntah-muntah sejurus termakan ubat berkenaan.

Menurut sumber, mangsa sebelum itu menelan sekurang-kurangnya enam biji ubat yang disangkanya gula-gula.

Katanya, kejadian disedari ibu mangsa apabila mendapati kanak-kanak itu mengalami muntah-muntah yang luar biasa.

“Mereka fikir anaknya telah termakan benda beracun kerana keadaan mangsa pada ketika itu sangat lemah akibat mengalami muntah-muntah yang teruk.

“Namun, kanak-kanak itu sempat memberitahu dia telah makan ‘gula-gula’ neneknya yang ada di atas meja.

“Sebaik sahaja melihat keadaan anaknya semakin lemah, mangsa kemudian dihantar ke hospital untuk tindakan susulan,” katanya di sini, semalam.

Menurut sumber, mangsa yang merupakan anak bongsu dari tiga orang adik-beradik itu merupakan seorang yang periang.

Sumber: Sinar Harian

Tips untuk menjauhkan kanak-kanak daripada ubat.

  1.  Simpan ubat di dalam botol yang “child-proof”.
  2. Simpan ubat di dalam laci atau kabinet berkunci.
  3. Simpan ubat di tempat yang tinggi yang tidak dapat dicapai dengan mudah oleh kanak-kanak.
  4. Jika perlu disimpan di dalam peti sejuk, ubat hendaklah disimpan di dalam bekas berwarna yang ditutup rapat.

Risiko Pembelian Ubat Melalui Internet

Teknologi sektor kesihatan sedang menjalani satu perubahan yang didominasi oleh Internet dalam kehidupan seharian. Hasil perkembangan teknologi ini dapat dilihat melalui perkembangan aktiviti-aktiviti dan iklan-iklan yang berkaitan kesihatan. Kebolehan orang ramai dalam melayari Internet seperti blog atau media sosial dalam pelbagai medium menggalakkan golongan tertentu mengambil peluang mempengaruhi orang ramai dalam membuat pilihan berkaitan dengan produk kesihatan.

Pengguna dinasihatkan supaya berhati-hati apabila membeli produk farmaseutikal melalui perkhidmatan Internet, pos atau kurier. Pengguna dinasihatkan tidak mudah terpengaruh dengan mana-mana iklan perubatan dan produk di Internet kerana membeli produk farmaseutikal melalui perkhidmatan Internet boleh mengundang bahaya kepada kesihatan pengguna.

Produk yang dijual melalui Internet adalah diragui kerana sebab-sebab berikut:

  • keselamatan , kualiti dan keberkesanannya kepada pengguna tidak dapat dipastikan.
  • khidmat nasihat yang lengkap mengenai penggunaan ubat-ubatan tidak diperolehi.
  • terdapat risiko pembelian produk palsu yang boleh menyebabkan kematian.
  • boleh menyebabkan kesan sampingan yang tidak dijangka seperti alahan yang teruk, sesak nafas secara tiba-tiba atau sesuatu keadaan yang memburukkan lagi penyakit yang dihidapi.
  • tiada kesan penyembuhan kerana mengandungi bahan aktif yang salah atau langsung tidak mengandungi bahan aktif.

Adalah diingatkan bahawa produk palsu boleh menyebabkan kematian. Ia berkemungkinan tinggi mengandungi bahan berbahaya seperti merkuri, arsenik, kadmium, atau plumbum. Bahan-bahan ini boleh menyebabkan kerosakan buah pinggang dan membawa maut. Tambahan pula, produk tersebut mungkin dihasilkan di premis tidak berlesen yang tidak menyediakan persekitaran yang bersih seperti yang ditetapkan oleh pihak berkuasa.

Semua produk farmaseutikal di Malaysia perlu berdaftar dengan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) sebelum dipasarkan kepada pengguna. Produk berdaftar mempunyai dua ciri, iaitu nombor pendaftaran (contoh MAL20085264A) dan label hologram Meditag. Produk ini akan dinilai dari segi kualiti , keberkesanan dan keselamatannya kepada pengguna.

Pengguna boleh menyemak status pendaftaran semua produk farmaseutikal di portal ini dengan klik ikon ‘Semak Pendaftaran Produk’. Carian produk berdaftar boleh dibuat dengan menggunakan :

  • nama produk
  • nombor pendaftaran
  • nama pemegang pendaftaran
  • bahan-bahan aktif
  • nama pengilang

Jika produk tersebut adalah produk yang berdaftar, status pendaftaran akan dipaparkan. Selepas memeriksa nombor pendaftaran, pengguna dinasihatkan untuk menyemak kesahihan label hologram melalui ahli farmasi di hospital, klinik atau premis farmasi berdekatan. Oleh yang demikian, pembelian produk farmaseutikal melalui Internet adalah tidak selamat sama sekali.

Sumber: Bahagian Perkhidmatan Farmasi, KKM.